Film

Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal di Astro First bermula 3 Dis ini

By 24th November 2020 No Comments

Setelah hampir 2 tahun filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, akhirnya filem yang mengharumkan nama Malaysia dalam Oscars 2020 ini bakal ditayangkan di kaca TV. Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal merupakan filem pecah panggung pada tahun 2019 dengan kutipan pawagam melebihi RM26 Juta. Filem ini juga ditayangkan di pawagam luar negara seperti di Singapura, Brunei, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat. Pada tahun 2020, filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal telah berjaya mengharumkan nama negara dengan tersenarai dalam senarai pendek Anugerah Akademik (Oscars) 2020 kategori “Best Animated Film”. Filem ini juga telah berjaya memenangi anugerah peringkat antarabangsa seperti di Singapura dan Kanada.

Sempena dengan sambutan ulang tahun Les’ Copaque Production yang ke 15, pada  tanggal 3 Disember ini filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal akan ditayangkan di Astro First. Ini merupakan hadiah istimewa buat peminat setia filem ini yang sudah lama menunggu tayangan filem ini. Ianya juga dilihat sebagai masa yang terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga di rumah sempena dengan cuti panjang hujung tahun serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikebanyakkan negeri. Peminat boleh menonton Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal melalui saluran 480 ataupun melalui Astro On Demand.

Selain itu juga, peminat setia filem ini juga akan dapat menonton dalam Bahasa Inggeris yang tidak pernah ditayangkan lagi di Malaysia. Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal versi Inggeris ini telah dialih suara bagi pasaran Amerika Syarikat ketika tayangannya di negara tersebut tahun lalu. 

Sinopsis Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal

Filem pengembaraan baru ini mengisahkan kembar comel Upin dan Ipin bersama-sama kawan-kawan mereka Ehsan, Fizi, Mail, Jarjit, Mei Mei, dan Susanti dalam usaha mereka menyelamatkan kerajaan fantasi Inderaloka dari kekejaman Raja Bersiong. Semuanya bermula apabila Upin, Ipin dan kawan-kawan terjumpa sebilah keris misteri yang membawa mereka memasuki kerajaan tersebut. Ketika mencari jalan pulang, mereka dibebani dengan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan itu seperti sediakala. Dengan bantuan Mat Jenin dan Belalang, Upin, Ipin, dan kawan-kawan perlu melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam filem pengembaraan aksi penuh magis dan lucu yang dihasilkan oleh Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.

Anugerah Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal

1. Academy Awards Oscars – Shortlisted 2019
2. Animaze Montreal 2019 – Best Feature Script
3. Asian Academy Creative Awards 2019 – Best Feature Film Malaysia
4. Profima Awards 2019  – Best Animation Film 2019
5. ASTRO Throwbaek 2019 – Film Go International

Filem Malaysia di mata dunia. Kini di pawagam rumah anda.

Jadi jangan lupa dan setkan tarikh 3 Disember ini di kalender untuk menonton filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal di Astro First!

 

76,046 total views, 0 views today

Author Si Polan

Seorang penulis misteri di Les' Copaque Production.

More posts by Si Polan