Announcement

Pengarah Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal kongsi 50 “Fun Facts”

By 14th October 2020 No Comments

Seperti yang kita sudah tahu, filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal diarahkan oleh 3 orang pengarah iaitu Adam Amiruddin, Ahmad Razuri dan Syed Nurfaiz Khalid. Salah seorang pengarahnya iaitu Adam Amiruddin melalui laman twitternya yang turut dikenali sebagai “Raja Typo Sedunia” telah berkongsi 50 fakta menarik ataupun Fun Facts mengenai filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal kepada semua pengikut filem ini. Yang uniknya, 50 fakta menarik ini dikongsikan sedikit demi sedikit oleh Adam bermula dari Mei 2019 sehinggalah pada Oct 2020.

Sebagai salah seorang pengarah yang terlibat dari awal pembikinan filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal ini, perkongsian Adam ini sangat unik kerana kebanyakkan fakta yang dikongsikannya juga merupakan proses disebalik tabir filem ini. Jadi mari kita baca mengenai 50 fakta menarik Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal.

1. Nama Re, Ri dan Ang adalah potongan dari perkataan “Reriang”

Nama asal watak Re, Ri, Ang adalah dari potongan perkataan “Reriang” yang juga merupakan jelmaan serangga riang-riang. Di dalam filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal, watak Re, Ri dan Ang mampu untuk memecahkan tubuh mereka kepada serangga-serangga reriang.

2. Pak Belalang dan anaknya Belalang bukan dari kisah dongeng

Tidak seperti watak-watak yang diambil dari kisah dongeng, watak Pak Belakang dan anaknya Belalang merupakan inspirasi dari filem Nujum Pak Belalang, karya Allahyarham P.Ramlee

3. Topeng yang digunakan oleh Tok Dalang adalah topeng Pulu-Pulu

Topeng yang digunakan oleh Tok Dalang untuk mengejutkan Upin dan Ipin adalah topeng Pulu-Pulu dari episod Kembara ke Pulau Harta Karun. Tok Dalang menggunakan topeng ini ketika Upin dan Ipin masuk ke  bawah rumahnya.

4. Ketua Lanun, Mek Min adalah Dato’ Yasmin Mahmood

Watak Ketua Lanun di dalam filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal iaitu Mek Min juga bukan dari watak dongeng. Mek Min adalah watak cameo lakonan Dato’ Yasmin Mahmood yang merupakan mantan CEO MDEC.

5. Nama asal “Keris Siamang Tunggal” adalah “Keris Panjang Berok Berayon”

Nama asal “Keris Siamang Tunggal” berasal dari nama “Keris Panjang Berok Berayon”, iaitu alat kebesaran Diraja Selangor. Namun begitu, bagi mengelakkan kesalahan penggunaan nama dan melanggar adat istiadat Raja Selangor, elemen “Siamang” telah dipilih bagi menggantikan “Berok”.

6. Pulau Angan Makanan adalah pulau bertemakan makanan

Pulau Angan Makanan merupakan pulau yang dipenuhi dengan flora dan fauna yang bertemakan makanan. Keseluruhan pulau ini dari atas adalah kelihatan seperti Ais Kacang.

7. Raja Bersiong pernah muncul di Perarakan Animasi Hari Kebangsaan Malaysia

Raja Bersiong merupakan watak pertama yang dipamerkan sebelum watak-watak lain. Raja Bersiong pertama kali muncul di skrin gergasi ketika Perarakan Animasi sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-58 pada tahun 2015.

Tonton video penuh Perarakan Animasi Hari Kebangsaan ke-58 : https://youtu.be/39-Dm96LAh8

8. Nama kapal Nakhoda Ragam adalah Kapal Layar Lara

Nakhoda Ragam mempunyai sebuah kapal yang berbentuk seperti ikan paus. Nama kapal tersebut adalah Kapal Layar Lara.

9. Kisah di dalam Gua Cerita adalah kisah Bawang Merah dan Bawang Putih

Di dalam Gua Cerita terdapat satu babak Upin dan Ipin yang sedang meneliti lukisan di dinding gua. Lukisan ini adalah lukisan yang menceritakan tentang kisah Bawang Merah dan Bawang Putih.

10. Kisah Bawang Merah dan Bawang Putih di Malaysia dan Indonesia adalah berbeza

Meskipun Bawang Merah dan Bawang Putih merupakan cerita rakyat yang terkenal di Malaysia dan Indonesia, namun begitu kisah bagi versi kedua-dua negara ini berbeza. Di Malaysia, Bawang Merah adalah watak baik dan Bawang Putih adalah watak jahat, tetapi di Indonesia pula terbalik.

11. Si Tanggang adalah Malin Kundang

Satu lagi watak cerita rakyat yang  terkenal di Malaysia dan Indonesia adalah watak Si Tanggang. Si Tanggang adalah kisah anak derhaka yang disumpah menjadi batu oleh ibunya. Namun begitu, di Indonesia, kisah Si Tanggang lebih dikenali sebagai Malin Kundang.

12. Nakhoda Ragam adalah suami Puteri Gunung Ledang

Tidak ramai yang tahu tentang kisah Nakhoda Ragam. Di dalam hikayat Nakhoda Ragam, dikatakan Nakhoda Ragam mempunyai suara yang merdu. Dia juga adalah suami kepada Puteri Gunung Ledang.

13. Babak lagu “Keris Sakti” mengambil masa 3 bulan untuk dianimasikan

Sewaktu orang ramai menari di Pelabuhan Megah, terdapat 1 babak yang mempunyai jumlah karakter paling ramai (lebih 100 orang) dan mengambil masa lebih 3 bulan untuk dianimasikan. Babak ini adalah babak di mana lagu tema iaitu “Keris Sakti” diperkenalkan dan merupakan babak paling “mahal” dalam filem ini.

[adinserter block=”3″]

14. Watak Pak Pandir

Pak Pandir merupakan salah satu watak cerita rakyat yang dimasukkan di dalam filem, tetapi dikeluarkan ketika penyuntingan terakhir. Walau bagaimanapun watak Pak Pandir boleh dilihat dalam satu babak di Pelabuhan Megah.

15. Lagu tema “Buai Laju-Laju” adalah inspirasi dari lagu “Laju-Laju Buaiku Laju” (1959)

Lagu tema “Buai Laju-Laju” merupakan inspirasi kepada lagu “Laju-Laju Buaiku Laju” dari filem Bawang Putih Bawang Merah (1959). Lagu “Buai Laju-Laju” dinyanyikan oleh Ernie Zakri dan dicipta oleh komposer Les’ Copaque Production.

16. “Singapura Dilanggar Todak”

Babak Pulau Pisang diserang todak adalah rujukan dari kisah “Singapura Dilanggar Todak”. Dianggarkan sebanyak 20,000 ekor todak dianimasikan dalam babak itu.

17. “Raja Bersiong” berasal dari Kedah

Mengikut kisah Raja Bersiong, beliau merupakan raja dari kerajaan lama Kedah. Pelakon suara Raja Bersiong iaitu Mawardi Rahman juga berasal dari Kedah.

18. Babak Paling Awal Yang Dibincangkan

Babak Upin & Ipin dikejar di Pelabuhan Megah adalah antara babak yang paling awal dibincangkan sewaktu pra-produksi termasuk idea jeti musnah yang digunakan pada suntingan akhir filem ini.

19. “Mat Jenin” adalah seorang juru animasi

Suara watak Mat Jenin yang dilakonkan oleh Mohd Amir Asyraf merupakan salah seorang juru animasi bagi filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal. Babak yang paling suka dianimasinya adalah sewaktu Mat Jenin berlawan dengan Re di pelabuhan Megah.

20. “Hang Ipin”

Sewaktu Ipin bermain di atas peti, dia memanggil dirinya sebagai Hang Ipin, iaitu karakter dari episod Kembara ke Pulau Harta Karun dari siri Upin & Ipin. Episod ini juga pernah dicadangkan untuk difilemkan.

 21. Skor Muzik Orkestra Antarabangsa

Skor muzik filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal dirakam di Boston, USA dan Republik Czech dengan orkestra yang terdiri dari 27 pemain alat muzik bertali, 11 pemain alatan bras. Mereka semua berasal dari serata dunia, termasuk dari Turki, China dan Malaysia.

22. “Nakhoda Ragam” Berasal dari Brunei

Pelakon suara Nakhoda Ragam iaitu Fakhrul Razi merupakan seorang penyanyi yang berasal dari Brunei, sama seperti kisah Nakhoda Ragam yang diceritakan juga berasal dari Brunei.

23. Idea Asal Kemaafan

Terdapat 3 “Kemaafan”dalam filem ini. Untuk kemaafan Mat Jenin, sebelum ini dicadangkan untuk Mat Jenin memaafkan Raja Bersiong. Tetapi idea ini ditukar kepada dia memaafkan diri sendiri kerana salahkan diri sendiri atas kematian ayahnya.

24. Gambus Sebagai Elemen Muzik Utama

Skor dan muzik dalam filem ini digubah secara terperinci untuk mengikuti perjalanan cerita dan watak. Namun begitu, gambus boleh didengari di dalam setiap komposisi sebagai instrumen dan elemen utama.

25.  Nama Misteri Pada Kotak

Semasa Upin, Ipin dan kawan-kawan mengemas stor Tok Dalang, ada sebuah kotak disebelah peti keris tertulis nama “af-AUQ-“. Jika dibaca dari kanan ke kiri ianya tertulis “Fa-QUA-“, iaitu nama Ketua Pereka Model Persekitaran dan Tatahias set, Mohd Farquar.

26. Efek Reriang Paling Banyak Kena “Reject”

Salah satu sebab kenapa filem ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan adalah kerana proses perubahan idea dan visual. Visual yang paling banyak mengalami perubahan adalah reriang yang pada asalnya tidak kelihatan menarik. Ianya di “reject” berulang kali kerana tidak nampak realistik dan kelihatan seperti gula-gula “smarties”.

27. Belalang Kanak-Kanak Pintar

Seperti di dalam filem Nujum Pak Belalang, watak Belalang adalah seorang kanak-kanak pintar dan geliga. Ini dapat dilihat pada lastik buatan sendirinya yang mempunyai sistem simpanan peluru.

28. Rekaan Karakter Belalang Dari Inspirasi Wajah Peminat

Inspirasi untuk rekaan karakter Belalang adalah datang daripada salah seorang peminat Upin & Ipin ketika sambutan Rumah Terbuka Les’ Copaque pada tahun 2013

29. Muzik Inspirasi dari Bujang Lapok

Skor muzik Upin & Ipin mengemas stor bersama kawan-kawan banyak menggunakan siulan. Inspirasinya datang dari filem P.Ramlee, Bujang Lapok. Ianya sangat sesuai dengan mood santai dan semangat setia kawan, sama seperti Bujang Lapok

30. Penglibatan Penggubah Muzik Orkestra dari Final Fantasy 7

Sachiko Miyano adalah seorang penggubah muzik yang berasal dari Jepun dan telah membuat gubahan orkestra bagi kedua-dua lagu tema filem ini. Beliau juga pernah menggubah lagu untuk Final Fantasy 7 Remake, Kingdom Hearts 3 dan Metroid : Other M.

31. Lagu Tema Ke Tiga iaitu “Terbang Tinggi” oleh Yubi

Walaupun terdapat dua buah lagu tema Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal iaitu, lagu “Keris Sakti” nyanyian Fakhrul Razi dan “Buai Laju-Laju” nyanyian Ernie Zakri tetapi sebenarnya terdapat 1 lagi lagu tema iaitu “Terbang Tinggi”. Lagu ini dinyanyikan oleh Yubi, iaitu penyanyi yang sama menyanyikan lagu tema “Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng!”. Lagu ini boleh didengari di Teaser Trailer 2 Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal.

32. Binatang berunsurkan Nama Makanan!

Semua binatang-binatang di Pulau Angan Makanan direka berunsurkan dari makanan-makanan tempatan. Diantaranya adalah seperti Badak Berendam, Karipap Tapir, Kuih Cara Cicak dan Kekura Puteri Ayu.

33. “Pak Belalang” Adalah Pengarah

Selain menjadi salah seorang dari pengarah, Razuri juga membawakan watak Pak Belalang. Dia menggunakan watak Pak Belalang dari lakonan P. Ramlee dari filem Nujum Pak Belalang sebagai sumber inspirasi.

34. Pemain Gambus Terkenal

Gambus merupakan alat muzik utama dalam pembikinan soundtrack filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal. Ianya dimainkan oleh Bob Wahid iaitu merupakan anak didik Norehan Said, seorang yang terkenal dengan kebolehan bermain gambus.

35. Rujukan Skor Filem Epik Antarabangsa

Kebiasaannya skor muzik akan diletakkan setelah semua visual disiapkan. Tetapi untuk mendapatkan mood satu-satu babak itu, skor muzik dari filem lain digunakan terlebih dahulu untuk mendapatkan mood babak tersebut. Diantara skor muzik yang digunakan sebagai rujukan adalah dari filem Lord of the Rings dan Game of Thrones.

 36. Filem Dengan 3 Pengarah

Dengan 3 pengarah, filem ini dikerat kepada 3 bahagian. Razuri mengarah dari awal sehingga babak Mak Deruma, Adam pula hingga babak Bawang Merah manakala selebihnya pula adalah arahan Syed Nurfaiz. Walau bagaimanapun, semua keputusan dibuat bersama-sama.

37. Tukar Babak Pertarungan dengan Raja Bersiong

Pada asalnya, Upin dan Ipin hanya melihat pertarungan di antara Siamang Tunggal dengan Raja Bersiong dari jauh. Tetapi akhirnya penglibatan Upin dan Ipin ditambah bagi mengukuhkan lagi peranan Upin dan Ipin sebagai penyelamat Inderaloka.

38. Warna Putih Siamang Tunggal adalah Warna Gading

Warna putih pada rekaan karakter Siamang Tunggal adalah berasal dari rekabentuk hulu Keris Siamang Tunggal yang diperbuat daripada gading. Biasanya, penggunaan gading bertatahkan emas dalam rekaan keris menunjukkan lambang kuasa.

39. Pak Belalang Tinggal di Hutan Paya

Jika dilihat rumah Pak Belakang sebenarnya adalah bangkai sebuah kapal lama ditengah-tengah hutan paya. Dia terpaksa menetap di sini demi keselamatan anaknya kerana dia bekerja dengan Raja Bersiong.

40. Rekaan Asal Keris Siamang Tunggal berunsurkan Burung Cenderawasih

Reka bentuk keris telah melalui banyak perubahan sebelum ianya menjadi seperti yang dilihat di dalam filem. Sebelum Siamang dipilih, Burung Cenderawasih pernah digunakan sebagai elemen utama dan diperbuat daripada jed.

41. Elemen Cenderawasih

Cadangan Burung Cenderawasih sebagai jata Inderaloka adalah berdasarkan penglibatan kuat burung itu dalam kisah dongeng Melayu. Reka bentuknya digunakan dalam rekaan dunia Inderaloka itu sendiri.

42. Burung Ayam Goreng

Burung Ayam Goreng merupakan salah satu karakter di dalam episod “Uuuuu… Telur Apa Tu”. dari musim ke-10 siri Upin & Ipin. Karakter ini pada asalnya dimasukkan di dalam babak Pulau Angan Makanan, tetapi sayangnya babak Burung Ayam Goreng dibuang dari suntingan terakhir filem.

43. Bunian bertemakan Bawang

Rekaan makhluk Bunian yang ditemui di Pulau Angan Makanan adalah berunsurkan Bawang. Sesuai dengan tugasnya sebagai penunggu Gua Cerita, tempat di mana Bawang Merah terperangkap. Ianya sebahagian daripada tema “bawang”.

44. Selipar Upin Dicuri


Sewaktu di Pulau Angan Makanan, selipar Upin dicuri oleh makhluk Bunian. Ini adalah mimik daripada babak awal apabila Rembo yang mencuri selipar Upin.

45. Kali Pertama Upin dan Ipin Terpisah

Filem ini merupakan pertama kali Upin dan Ipin terpisah. Ini merupakan antara idea awal pembikinan cerita filem ini kerana Upin dan Ipin tidak pernah terpisah sebelum ini. Babak pertemuan mereka menjadi diantara babak yang paling sedih yang penuh dengan emosi.

46. Dialog Ara dari “Pada Zaman Dahulu”

Ketika Upin, Ipin dan Belalang bersemangat untuk mendengar kisah Bawang Merah, Ipin berkata “ceritalah, ceritalah!”. Ini adalah dialog karakter Ara dari siri Pada Zaman Dahulu.

47. Kapal Si Tanggang asalnya adalah kapal Hang Upin dan Hang Ipin

Kapal Si Tanggang yang telah disumpah menjadi batu pada asalnya adalah kapal kepunyaan Hang Upin dan Hang Ipin dari konsep teaser Upin & Ipin The Movie pada tahun 2013. Filem yang  berkonsepkan Hikayat Melayu tidak diteruskan dan video teaser projek ini juga tidak pernah disiarkan di mana-mana.

48. Skrip filem 4 tahun

Sepanjang 5 tahun pembikinan filem ini, hampir 4 tahun dari itu digunakan untuk skrip sahaja. Ini adalah bagi memastikan jalan cerita yang dikarang menjadi karya jiwa yang berjaya.

49. Babak Sang Kelembai

Untuk memastikan filem ini tidak melebihi 100 minit, banyak babak yang terpaksa dipotong dari idea asal. Diantaranya adalah babak di mana Upin dan Ipin bertemu dengan Sang Kelembai.

50. Filem Animasi Pertama Malaysia di Oscars!

Filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal telah disenarai pendek di Anugerah Academy (Oscars) 2019 untuk kategori Filem Animasi Terbaik  dan bersaing dengan filem animasi antarabangsa yang lain seperti Toy Story 4 dan Frozen 2. Ini adalah filem animasi pertama Malaysia yang berjaya mencapai ke tahap ini. Banggakan?

73,228 total views, 0 views today

Author Si Polan

Seorang penulis misteri di Les' Copaque Production.

More posts by Si Polan