Sambutan Hari Sindrom Down 2018 peringkat antarabangsa disambut setiap tahun pada 21 Mac oleh persatuan Sindrom Down seluruh dunia bagi menghargai pesakit Sindrom Down. Di Malaysia sambutannya dianjurkan oleh Persatuan Sindrom Down Malaysia bersama wakil-wakil persatuan dari setiap negeri. Bertempat di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sambutan tahun ini dihadiri oleh hampir 300 orang ahli persatuan.
Pada sambutan tahun ini, Les’ Copaque Production juga turut memeriahkan sambutan Hari Sindrom Down bersama semua ahli persatuan dan kanak-kanak istimewa.
Menurut Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia, Puan Hanizam Bt Hussin, animasi Upin & Ipin dijadikan sebagai salah satu medium pembelajaran dan pendidikan buat kanak-kanak Sindrom Down kerana mereka tertarik dengan watak Upin dan Ipin kerana perwatakkan mereka yang ceria dan animasinya yang berwarna-warni. Kebanyakkan dari mereka boleh memahami jalan cerita dan mengenali watak dalam cerita Upin dan Ipin. Animasi Upin & Ipin banyak mendidik dan memberi pengajaran yang baik yang boleh dijadikan contoh buat mereka. Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan perkembangan pembelajaran dan pertuturan mereka dari semasa ke semasa.
Pada majlis sambutan tersebut, kehadiran maskot Upin dan Ipin menceriakan semua kanak-kanak yang rata-ratanya merupakan pengalaman pertama melihat Upin & Ipin secara “live”. Upin dan Ipin juga turut menemani mereka bermain sukaneka dan bergambar bersama-sama. Jelas keriangan terpapar pada wajah mereka walaupun tanpa sebarang kata-kata.
Terima kasih dan tahniah kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia kerana telah berjaya menganjurkan majlis ini dengan jayanya. Semoga usaha murni yang dilakukan oleh persatuan ini mendapat perhatian dan sokongan dari pelbagai pihak bagi membantu kanak-kanak istimewa seperti ini.
6,415 total views, 0 views today